fb fb fb fb fb

"Pemain perlu bertanggungjawab, kekalahan kepada Aston Villa" - Erik ten Hag

(FOTO AFP)

BIRMINGHAM, 7 November - Kekalahan Manchester United menentang Aston Villa 1-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi nyata merisaukan pengurusnya, Erik ten Hag.

Skuad The Red Devils yang turun dengan hampir keseluruhan pemain utama gagal mengawal tempoh 90 minit permainan selain sering melakukan kesilapan teknikal.

Keberadaan penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo juga dilihat tumpul dalam menguji penjaga gol lawan, Emiliano Martínez.

Jaringan sulung permainan dibuka seawal minit ke-7 dengan sepakan deras Leon Bailey, disusuli jaringan kedua dalam tempoh empat minit oleh Lucas Digne menerusi sepakan percuma.

Aston Villa mula mendominasi permainan selepas meletakkan pasukan selesa 2-0 pada babak pertama sekali gus menaikkan moral pemain.

Bagaimanapun, pertahanan United, Luke Shaw sempat menghadiahkan satu gol 'deflection' menerusi rembatan kencang yang terkena pemain Villa, Jacob Ramsey sebelum berakhir babak pertama.

Sejurus mula separuh masa kedua, Villa meneruskan momentum dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-49 menerusi 'set-piece' Ollie Watkins kepada Jacob Ramsey dan jaringan kekal hingga tamat perlawanan.


(Aksi Manchester United dan Aston Villa turut dicemari insiden tegang di antara Cristiano Ronaldo dan Tyrone Mings/AFP)

Menurut Erik ten Hag, pemain perlu bertanggungjawab dengan kekalahan tersebut.

"Anda perlu membaca perlawanan dan mengikut perancangan. Bukannya dibolosi dua gol, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Ia sukar diterima apabila dibolosi begitu pantas di babak kedua menerusi serangan balas. Pemain-pemain kami berpengalaman. Mereka perlu memenangi pertarungan.

"Ia kelihatan seperti mereka lebih cergas. Ia tidak boleh diterima. Pemain-pemain perlu bertanggungjawab dan bersedia," kata Ten Hag.

United menduduki tangga kelima liga, dibelakang Spurs dengan jurang tiga mata, kurang satu perlawanan.

Manchester United akan berkunjung ke Stadium Craven Cottage bagi aksi melawan Fulham pada 14 November depan.-AFP

 

Media Baharu