fb fb fb fb fb

MoSalah wira Liverpool, tewaskan Spurs 2-1

(FOTO AFP)

LONDON, 7 November - Bintang Mesir, Mohamed Salah muncul wira Liverpool selepas menjaringkan dua gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Tottenham Spurs awal pagi tadi.

Skuad The Reds itu tampak yakin mengawal permainan selain melakukan pelbagai percubaan tepat ke arah gawang lawan.

Ketiadaan bintang Korea Selatan, Son Heung-min juga antara punca kegagalan Spurs mengucar-ngacirkan pertahanan Liverpool selepas pemain itu mengalami kecederaan parah di bahagian mata pada aksi Liga Juara-Juara ketika berdepan Marseille.

Menurut pengendali The Reds, Jurgen Klopp kemenangan itu amat penting buat pasukan, di samping menjadi pembakar semangat pasukan untuk kekal cemerlang.

"Ia kemenangan penting. Apa yang kami tunjukkan ialah kami tidak terlalu tertekan apabila dibolosi.

"Saya suka persembahan mereka. Kita tidak boleh konsisten dengan hanya bermain baik sepanjang masa. Ia berkenaan semangat juang yang kami tunjukkan malam ini," kata Klopp.

MoSalah membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi hantaran pendek Darwin Nunez dalam kotak penalti.

Jaringan kedua dihasilkan menerusi kesilapan pertahanan lawan, Eric Dier yang menanduk bola ke arah belakang sekali gus membuka ruang pemain 'lipas kudung', MoSalah mencipta gol.


(Penyerang Liverpool, Darwin Nunez tampil garang dalam aksi berdepan Spurs menyempurnakan
peluang dan hantaran tepat untuk membantu pasukan/AFP)

Bintang Spurs, Harry Kane akhirnya menemui sentuhan magis menjaringkan gol pada babak kedua untuk merapatkan jurang.

Skuad The Lillywhites cuba untuk bangkit menyamakan kedudukan, bagaimanapun cubaan hanya melewati gawang Liverpool sehingga akhir permainan.

MoSalah yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan, kini sudah meledak 10 gol dalam 10 perlawanan selepas permulaan musim yang perlahan.

"Kami ketinggalan berbanding pasukan lain yang sentiasa menang kerana mereka mempunyai skuad yang besar," kata pengurus Spurs, Antonio Conte.

Liverpool kini ditangga kelapan liga dan akan menerima kunjungan Southampton pada esok untuk aksi seterusnya.-AFP

 

Media Baharu