ORLANDO, 26 Jun- Pemain Manchester City perlu bersedia 'menderita' untuk beraksi dalam cuaca panas di Florida ketika bertemu Juventus dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan G, Piala Dunia Kelab, esok.
Peringatan itu dinyatakan pengurus City, Pep Guardiola.
Beliau turut memberi bayangan pemilihan kesebelasan utama akan mengambil kira keperluan untuk membuat beberapa pertukaran pada aksi separuh masa kedua.
"Saya akan membuat pemilihan esok. Kami tidak boleh bermain mengikut rentak.
"Tetapi semua pasukan perlu menghadapinya. Jadi untuk Piala Dunia akan datang, orang ramai sudah tahu mengenainya.
"Tetapi kami sedia untuk 'menderita'. Nasihat saya kepada orang ramai, bawalah air, topi dan tuala," katanya.
Ketika perlawanan antara City dengan Juventus di Stadium Camping World pukul 3 petang esok (waktu tempatan), suhu dianggarkan mampu mencecah sehingga 33 darjah celcius.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan sudah mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan awal dan melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Bagaimanapun kedudukan juara kumpulan masih belum ditentukan.-AFP