fb fb fb fb fb

Pemain bola sepak muda China maut selepas cedera di Sepanyol

Guo Jiaxuan/FC Bayern München

BEIJING, 20 Mac- Seorang pemain bola sepak muda China meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius di kepala ketika sesi latihan di Sepanyol, menurut kelabnya pada Khamis.

Guo Jiaxuan, pemain pasukan bawah 19 tahun (B-19) Beijing Guoan, koma bulan lalu selepas insiden dalam perlawanan latihan antara pasukan B-20 Beijing dan kelab Sepanyol, RC Alcobendas di Madrid.

Beliau disahkan mengalami kematian otak di sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan ke China untuk rawatan lanjut di Hospital Beijing Tiantan.

"Pemain yang mencintai bola sepak telah pergi. Semoga Jiaxuan bersemadi dengan tenang," kata kelab Beijing Guoan dalam kenyataan di media sosial.

Kelab itu turut memaklumkan akan mengambil langkah sewajarnya bagi menguruskan situasi selepas kejadian dan memberikan sokongan kepada keluarga mendiang.

Guo yang pernah terpilih mewakili pasukan B-17 China pada 2023 serta menyertai projek FC Bayern World Squad di Jerman meninggal dunia pada Rabu, sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-19.

Keluarganya mendakwa Persatuan Bola Sepak Beijing (BFA) tidak menyalurkan maklumat lengkap mengenai insiden tersebut dan gagal berkomunikasi dengan mereka.

Mereka menuntut rakaman video perlawanan, butiran rawatan perubatan sebelum Jiaxuan tiba di hospital serta maklumat mengenai perlindungan insuransnya.

BFA menyatakan pihaknya tidak mendedahkan maklumat secara berterusan sejak insiden itu berlaku bagi mengelakkan gangguan terhadap rawatan perubatan dan mengambil kira perasaan keluarga mangsa.

"BFA kini telah memperoleh rakaman video perlawanan dan sedang menganalisisnya dengan bantuan pakar," menurut kenyataan BFA pada Khamis sambil menambah usaha telah dilakukan bagi memastikan rawatan terbaik untuk Jiaxuan dan memenuhi keperluan keluarganya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA