fb fb fb fb fb

NGO Kedah lancar Tabung Sumbangan Aidilfitri bantu pemain KDA FC

Datuk Romli (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Tabung Sumbangan Aidilfitri di Kepala Batas, Alor Setar hari ini / RTM

ALOR SETAR, 20 Mac– Prihatin dengan isu tunggakan gaji hampir 10 bulan yang dihadapi pasukan Liga Super Kedah Darul Aman FC (KDA FC), tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah mengambil inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan Aidilfitri bagi membantu pemain dan pegawai pasukan membuat persiapan menyambut Syawal.

Tiga NGO terbabit ialah Rangkaian Anak Darul Aman Se-Malaysia, Anak Darul Aman (ADAM) dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA).

Pengerusi Rangkaian Anak Darul Aman Se-Malaysia, Datuk Romli Ishak berkata, setakat tersebut lebih RM40,000 telah berjaya dikumpulkan.

Antara penyumbang utama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyumbang secara peribadi sebanyak RM20,000, serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebanyak RM10,000.

"Tabung ini diwujudkan bagi memastikan kebajikan para pemain terus terbela, khususnya dalam menyambut bulan Syawal yang mulia. Sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan secara langsung kepada pemain dan pegawai yang memerlukan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka dalam mengangkat martabat bola sepak Kedah.

"Kami menyeru semua penyokong setia Hijau Kuning, pihak korporat, NGO, serta masyarakat umum untuk turut serta menyumbang ke dalam tabung ini," kata Datuk Romli Ishak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran tabung berkenaan di sebuah hotel di Kepala Batas, Alor Setar.

Sumbangan dibuka bermula hari ini sehingga 25 Mac. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB Bank milik Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) bernombor 8603566015 dengan rujukan Tabung Sumbangan Aidilfitri Bola Kedah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE