fb fb fb fb fb

Cedera hamstring, Lautaro Martinez terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026

Penyerang Argentina, Lautaro Martinez / Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 20 Mac-Penyerang Argentina, Lautaro Martinez tidak akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dan Brazil akibat kecederaan hamstring, menurut Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) pada Rabu.

Pemain Inter Milan itu kekal di bangku simpanan dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara menentang Feyenoord minggu lalu akibat kecederaan otot.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian kembali bermain dan menjaringkan gol ketika menang 2-0 Inter ke atas Atalanta dalam saingan Serie A pada Ahad sebelum menyertai skuad Lionel Scaloni.

Namun, kini dia telah disahkan mengalami kecederaan pada hamstring kiri dan terpaksa diketepikan.

Martinez menyertai senarai panjang pemain Argentina yang mengalami kecederaan, termasuk kapten pasukan, Lionel Messi yang terpaksa berehat akibat ketegangan otot, serta Gonzalo Montiel, Giovani Lo Celso, dan Paulo Dybala.

Argentina kini mendahului carta kelayakan CONMEBOL dengan 25 mata selepas 12 perlawanan. Juara Piala Dunia dan Copa America itu akan berdepan Uruguay yang berada di tempat kedua pada Jumaat sebelum menanti kunjungan Brazil, yang menduduki tempat kelima, empat hari kemudian.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD