fb fb fb fb fb

Pemain baharu bantu Arsenal julang trofi

Foto AFP

LONDON, 21 Julai - Pertahanan Arsenal dan Brazil, Gabriel Magalhães berkata pasukannya boleh menamatkan penantian panjang untuk gelaran Liga Perdana musim ini.

The Gunners belum pernah menjulang trofi liga sejak kempen tanpa kalah mereka pada musim 2003/04.

Naib juara untuk tiga musim terakhir, Arsenal telah menandatangani pemain sayap Noni Madueke dan penjaga gol Kepa Arrizabalaga dari Chelsea, serta pemain tengah Christian Norgaard dari Brentford dan Martin Zubimendi dari Real Sociedad.

Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres, yang menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan untuk Sporting musim lalu, dijangka akan berhijrah ke Stadium Emirates.

“Saya rasa pemain-pemain yang datang akan banyak membantu kami. Kelab sedang melakukan yang terbaik untuk pemain dan pengurus.

“Mereka sememangnya melakukan yang terbaik untuk membawa masuk pemain-pemain terbaik yang boleh membantu kami, tetapi kami perlu fokus pada apa yang kami boleh lakukan di atas padang. Pemain-pemain yang ada sekarang sedang melakukannya. Kami kuat dan kami semakin kuat dengan pemain-pemain baharu ini.

“Kami mahu memiliki pemain-pemain terbaik. Untuk bersaing merebut kejuaraan, anda perlu ada pemain-pemain terbaik. Kami telah melepaskan beberapa kejuaraan dari genggaman baru-baru ini. Kami hampir menang tetapi saya rasa tahun ini, keadaannya akan berbeza.” kata Gabriel kepada BBC dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Ahad.

Arsenal akan memulakan kempen Liga Perdana 2025-26 mereka pada 17 Ogos dengan perlawanan menentang Manchester United.- REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH