fb fb fb fb fb

Tour de France, Wellens menang peringkat ke-15, Pogacar kekal penguasaan

Tim Wellens dari Pasukan UAE memenangi peringkat ke-15 Tour de France/foto AFP

CARCASSONNE, 21 Julai - Tim Wellens dari Pasukan UAE memenangi peringkat ke-15 dengan berbukit dan cuaca panas dalam Tour de France di Carcassonne pada Ahad, selepas melakukan kayuhan solo sejauh 45km menuju ke kota tembok bersejarah itu.

Pendahulu keseluruhan, Tadej Pogacar, mengekalkan jersi kuning dengan kelebihan 4 minit 13 saat ke atas Jonas Vingegaard, yang terpaksa bertungkus-lumus mengejar selepas terperangkap dalam insiden pelanggaran ramai pelumba pada awal perlumbaan.

Wellens merupakan sebahagian daripada kelompok pendahulu awal yang berjaya melepaskan diri selepas kejadian itu.

Kumpulan itu terdiri daripada beberapa pelumba sebelum juara Belgium itu membuat pecutan mengejut dan meninggalkan yang lain.

Wellens begitu jauh di hadapan ketika melintasi garisan penamat sehinggakan dia sempat memberi ‘high five’ kepada puluhan penyokong Belgium menjelang Hari Kebangsaan Belgium.

"Semua orang mahu menang peringkat di Tour de France, ini yang paling istimewa.

"Saya tahu saya akan lengkapkan trilogi ini dan menikmati laluan terakhir bersama peminat. Saya merancang untuk mengangkat basikal di udara, tetapi saya terlalu gembira hingga terlupa." kata Wellens.

Ini merupakan kemenangan kelima bagi Pasukan UAE, dengan Pogacar sebelum ini telah memenangi empat peringkat sangat dominan untuk pasukannya.

"Ini membuat saya lebih gembira daripada memenangi peringkat sendiri, dia membantu saya kekalkan jersi ini setiap hari," kata Pogacar.

Sebanyak 167 daripada 184 pelumba meneruskan perlumbaan ke arah Carcassonne.

Selepas insiden kemalangan besar yang melibatkan Florian Lipowitz dan Vingegaard, kumpulan Pogacar terus memecut, meninggalkan Vingegaard dan kira-kira 30 pelumba lain untuk mengejar semula.

Julian Alaphilippe dari Perancis berdepan detik memalukan apabila meraikan seolah-olah menang di garisan penamat, sedangkan dia hanya menduduki tempat ketiga.

Malangnya, Alaphilippe menundukkan kepala apabila diberitahu oleh rakan senegaranya bahawa beliau tidak menang.

Dia terlibat dalam jatuhan awal dan kehilangan radio perlumbaan, menyebabkan tidak tahu bahawa peringkat itu sudah dimenangi.

Isnin ialah hari rehat terakhir sebelum edisi 2025 meneruskan aksi ke Alps pada peringkat 16 pada Selasa dengan pendakian sejauh 15.8km di Mont Ventoux pada kecerunan 7.9 peratus hingga ke puncaknya setinggi 1901 meter.

"Mont Ventoux untuk selepas hari rehat, jadi saya tak nak fikir tentangnya sekarang.

"Apa yang saya tahu, Jonas akan menyerang, dan saya cuma tak nak fikir mengenainya." kata Pogacar selepas upacara podium di Carcassonne.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH