NAPLES, 21 Julai - Napoli memperkukuhkan lagi skuad mereka dengan menandatangani pemain pertahanan Sam Beukema dari Bologna, umum juara Serie A itu pada Ahad.
Pemain Belanda itu menyertai kelab tersebut menerusi kontrak lima tahun bernilai €30 juta (RM148 juta) menurut media Itali.
Beukema menyertai Bologna pada tahun 2023 dari AZ Alkmaar dan pemain berusia 26 tahun itu telah membuat 80 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab Itali itu sepanjang dua musim lalu, termasuk menjadi kesebelasan utama dalam kesemua lapan perlawanan kempen Liga Juara Eropah mereka musim lalu.
Napoli, yang memenangi Scudetto keempat mereka pada Mei lalu, turut membawa pemain tengah Belgium Kevin De Bruyne, pemain sayap Belanda Noa Lang, dan penyerang Itali Lorenzo Lucca ke dalam skuad kendalian Antonio Conte sepanjang musim perpindahan ini.-REUTERS