PORTRUSH, 21 Julai - Scottie Scheffler meraih kemenangan gemilang dengan kelebihan empat pukulan untuk menjuarai Kejohanan Terbuka British pertamanya di Royal Portrush pada Ahad, sekali gus mencatatkan kejayaan utama keempatnya.
Pemain nombor satu dunia itu menamatkan pusingan akhir dengan tiga di bawah par, mencatat skor 68, dan mengakhiri kejohanan dengan jumlah 17 di bawah par selepas mencatat skor dalam lingkungan 60-an sepanjang empat hari pertandingan.
"Ia satu perasaan yang sangat istimewa. Ia merupakan minggu yang mencabar.
"Saya berjuang habis-habisan sepanjang hujung minggu. Ia satu pertarungan, tetapi saya bermain golf dengan sangat baik dan saya bertuah dapat berdiri di sini sambil memegang trofi." kata Scheffler selepas menjadi pemain pertama dalam lebih 100 tahun yang memenangi empat kejuaraan utama pertamanya dengan kelebihan sekurang-kurangnya tiga pukulan setiap satu.
Penguasaannya selama dua tahun kebelakangan ini begitu hebat sehingga sebaik sahaja dia melakukan birdie di lubang pertama, ia kelihatan seolah-olah para pencabar sudah hilang keyakinan untuk menyaingi.
Scheffler meraih pendahuluan yang tidak pernah dilepaskannya dengan catatan tujuh bawah par 64 pada Jumaat, meneruskan rekod 11 kejohanan berturut-turut dengan penamat dalam 10 terbaik.
Ia merangkumi empat kemenangan, termasuk kejuaraan PGA dan Terbuka British.
Pemain Amerika itu mendahului dengan empat pukulan semalam, menjadi pemain nombor satu dunia kedua selepas Tiger Woods yang menjulang Claret Jug dan tiga daripada empat gelaran Grand Slam dalam kariernya.
Harris English menamatkan kejohanan di tempat kedua dengan catatan 13 bawah par selepas pusingan penutup 66.
Chris Gotterup pula menamatkan dua minggu impian selepas kemenangan di Terbuka Scotland minggu lalu, mencatatkan 67 untuk berada satu pukulan di belakang di tempat ketiga.
Pemain tuan rumah, Rory McIlroy, gagal melancarkan cabaran serius, apabila peluangnya tertutup selepas double-bogey di lubang ke-10.
Dia sekadar berkongsi kedudukan ketujuh dengan catatan 10 bawah par.
“Tiada seorang pun daripada kami dapat menandingi apa yang dia (Scheffler) lakukan minggu ini, tetapi bagi saya untuk berada di hadapan semua orang di sini dan menerima sambutan seperti itu di lubang terakhir, ia benar-benar luar biasa,” kata juara Masters, McIlroy.-AFP