KUALA LUMPUR, 21 Julai - Juara bertahan, China menafikan hasrat skuad badminton remaja negara untuk melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Malaysia pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAJC) di Solo, Indonesia hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Manahan hari ini menyaksikan Malaysia memulakan aksi dengan kemenangan apabila pemain perseorangan lelaki negara Leem Boon Li menundukkan Xiao Gao Bo 11-9.
Bagaimanapun momentum itu gagal diteruskan Malaysia apabila kalah dalam kesemua baki perlawanan seterusnya yang melibatkan aksi perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dengan keputusan berakhir 64-110.
BAJC tahun ini menggunakan format baharu yang menyaksikan setiap pasukan perlu melengkapkan 10 perlawanan dengan setiap perlawanan dimainkan hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mengumpul 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.
Terdahulu, Malaysia mengesahkan slot ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B.
Skuad negara bermula dengan langkah kanan dalam aksi pembukaan kumpulan apabila menewaskan Macau (110-59) diikuti Myanmar (110-52), Singapura (110-58) dan dikecewakan tuan rumah 92-110 semalam.
Malaysia sebelum ini pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2007 dan 2009.- BERNAMA