SINGAPURA, 21 Julai - Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan mengulas lanjut mengenai sasaran perpindahan Viktor Gyokeres, tetapi berkata masih terdapat "banyak masa dalam jendela perpindahan" untuk memperkukuh skuadnya.
"Dia belum menjadi sebahagian daripada kumpulan kami.
"Dan saya tidak mempunyai apa-apa yang konkrit untuk ditawarkan kepada mana-mana pemain yang belum menjadi sebahagian daripada kumpulan," kata Arteta kepada wartawan di Singapura mengenai penyerang Sweden dari Sporting Lisbon itu menjelang perlawanan persahabatan pramusim menentang AC Milan dan Newcastle United minggu ini.
Setakat ini, kelab Liga Perdana Inggeris itu telah menandatangani Kepa Arrizabalaga dari Chelsea, Christian Norgaard dari Brentford, Martin Zubimendi dari Real Sociedad dan yang terbaru, Noni Madueke dari Chelsea.
Arteta masih berusaha memperkukuh bahagian serangan, dengan Arsenal dilaporkan telah menawarkan perjanjian bernilai £70 juta (RM419 juta) untuk mendapatkan Gyokeres merekodkan 54 gol dalam 52 perlawanan di Portugal musim lalu.
"Masih banyak masa dalam jendela perpindahan, dan kami masih mencari jumlah pemain yang sesuai.
"Kami kekurangan pemain, dan kami perlu meningkatkan kualiti dan kedalaman skuad.
"Tetapi buat masa ini, saya memberi tumpuan kepada pemain yang kami sudah miliki, dan saya sangat gembira dengan apa yang saya lihat setakat ini." kata Arteta.
Arteta sedar bahawa Arsenal belum memenangi Liga Perdana sejak 2004 dan skuadnya perlu melakukan lebih baik selepas menamatkan di tempat kedua dalam tiga musim terakhir.
"Saya tidak perlu meyakinkan (pemain) untuk memenangi Liga Perdana. Saya tahu betapa hebatnya mereka, dan kami semua mahu melangkah ke tahap seterusnya.
"Tugas kami adalah untuk meletakkan diri dalam posisi paling kompetitif untuk mencapai matlamat kami. Itu adalah tanggungjawab individu kami," tambahnya." kata Arteta.
Pasukan dari Utara London itu akan menentang AC Milan di Singapura pada Rabu, diikuti perlawanan menentang Newcastle pada Ahad.-AFP