fb fb fb fb fb

Aronian raih kejuaraan sulung Freestyle Chess Grand Slam

Grandmaster catur Armenia, Levon Aronian/Reuters

NEVADA, 21 Julai- Grandmaster catur Armenia, Levon Aronian mencatat sejarah apabila merangkul kejuaraan sulung Freestyle Chess Grand Slam selepas menewaskan Hans Niemann di perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad.

Aronian, 42 tahun, membawa pulang hadiah utama sebanyak AS$200,000 selepas mencatat kemenangan meyakinkan dalam perlawanan kedua, selepas aksi pembukaan berakhir dengan keputusan seri.

Sepanjang kejohanan yang berlangsung di Las Vegas, Aronian tampil cemerlang apabila menyingkirkan dua nama besar dunia catur iaitu Magnus Carlsen dan Hikaru Nakamura, dalam perlawanan lebih awal.

Niemann pula, yang mara ke pusingan akhir buat kali pertama, berpuas hati di tempat kedua dengan ganjaran AS$140,000.

Dalam penentuan tempat ketiga, pertemuan klasik antara Carlsen dan Nakamura yang digelar “El Chessico” menyaksikan Carlsen muncul pemenang.

Selepas perlawanan pertama berakhir seri, bekas juara dunia itu memanfaatkan posisi strategik dalam aksi kedua untuk meraih kemenangan dan membawa pulang AS$160,000.

Keputusan itu turut mengekalkan kedudukan Carlsen di tangga teratas Grand Slam Tour secara keseluruhan, meskipun gagal mara ke pentas akhir.

Sementara itu, dalam aksi penentuan kedudukan lain, Fabiano Caruana menewaskan Arjun Erigaisi 2-0 untuk menduduki tempat kelima manakala Praggnanandhaa Rameshbabu mengetepikan Wesley So 1.5-0.5 bagi meraih tempat ketujuh.

Freestyle Chess Grand Slam memperkenalkan format dinamik yang menggabungkan kreativiti tinggi dengan kemahiran strategi mendalam, menarik minat penggemar dan pemain catur di seluruh dunia. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM