SEPANG, 1 November — Pelumba Moto3 Switzerland, Noah Dettwiler, yang terlibat dalam kemalangan serius pada Grand Prix MotoGP Malaysia hujung minggu lalu, dilaporkan tidak lagi berada dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan keluarganya.
“Menurut doktor, keadaan Noah kini stabil dan tidak lagi kritikal,” kata keluarganya menerusi kenyataan di X hari ini.
Beliau bagaimanapun masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut.
Perlumbaan Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu terpaksa ditunda dan dipendekkan selepas insiden membabitkan juara dunia baharu, Jose Antonio Rueda, dan Dettwiler.
Kedua-dua pelumba yang ketika itu masih sedar telah dihantar ke hospital menaiki helikopter bagi menerima rawatan lanjut.
Rueda, pelumba berusia 19 tahun dari Sepanyol, disahkan mengalami kecederaan pada tangan kanan serta beberapa bahagian lain.
Pasukan Red Bull KTM Ajo dalam kenyataan di X memaklumkan keadaan Rueda kini “terus menunjukkan perkembangan positif”.
Beliau dijangka kembali ke Sepanyol pada Khamis untuk menjalani pembedahan tangan kanan di Barcelona dalam tempoh terdekat.
Moto3 merupakan kelas perlumbaan permulaan dalam Kejuaraan Dunia MotoGP, diikuti Moto2 dan MotoGP sebagai kelas tertinggi sukan itu.
Pada tahun 2011 di litar sama, pelumba Itali Marco Simoncelli maut selepas motosikalnya terbabas dan dirempuh dua pelumba lain, Colin Edwards dan Valentino Rossi, menyebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala, leher dan dada. - AFP