KUALA LUMPUR, 1 November – Wakil Korea Selatan, Choi Hye-jin terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu selepas tamat pusingan ketiga Kejohanan Golf Maybank 2025 yang berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara hari ini.
Choi mengekalkan momentum cemerlangnya apabila menamatkan saingan dengan catatan 197 pukulan (64-66-67), meninggalkan pencabar terdekat dari China, Yan Liu, empat pukulan di belakang dengan jumlah keseluruhan 201 pukulan (67-69-65).
Pemain Australia, Hannah Green, berada di tempat ketiga selepas mencatat 202 pukulan (66-69-67), manakala saingan sengit di kelompok keempat menyaksikan beberapa nama besar seperti Jepun,Ayaka Furue dan Thailand, Jeeno Thitikul turut mengekori rapat.
Wakil negara, Kelly Tan menutup aksi hari ini dengan catatan 211 pukulan (69-74-68) selepas memperbaiki prestasi berbanding pusingan semalam.
Sementara itu, pemain muda negara Mirabel Ting, menamatkan pusingan ketiga dengan 212 pukulan (67-75-70), manakala Ashley Lau dan Liyana Durisic masing-masing merekodkan 217 dan 219 pukulan.
Pusingan akhir akan berlangsung esok, dengan Choi dijangka berdepan tentangan hebat daripada kelompok teratas dalam perebutan trofi berprestij Maybank Championship 2025.