SERDANG, 1 November - Pasukan ragbi tujuh sebelah negara bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran di Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan, tanpa gentar terhadap mana-mana lawan yang bakal ditemui.
Ketua pasukan, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, berkata skuad kebangsaan kini berada pada tahap terbaik hasil persiapan intensif dari segi taktikal dan fizikal menjelang temasya dwitahunan itu.
“Untuk Sukan SEA kali ini, banyak pasukan yang boleh dianggap pencabar. Berdasarkan dua siri sebelum ini, pasukan Thailand selaku tuan rumah menunjukkan prestasi positif.
"Manakala Singapura dan Filipina juga sukar dijangka, terutama jika mereka menurunkan pemain naturalisasi.
“Tiga pasukan ini biasanya menjadi pencabar utama kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Azwan berkata, meskipun bakal berdepan pasukan yang menggunakan khidmat pemain naturalisasi, beliau tetap yakin skuad negara mempunyai motivasi tinggi untuk memberikan saingan sengit.
“Momentum kami kekal baik. Dalam kejohanan seperti Sukan SEA, apa-apa boleh berlaku kerana setiap pasukan mempunyai persiapan tersendiri.
“Kami akan berikan yang terbaik dan berusaha menewaskan semua lawan untuk mencapai sasaran emas,” ujarnya.
Tambahnya, skuad Bungaraya 7s akan menumpukan sepenuhnya usaha untuk memburu pingat emas di Thailand selepas sekian lama menantikan peluang beraksi di pentas Sukan SEA.
Pasukan ragbi tujuh sebelah negara pernah melakar sejarah memenangi pingat emas pertama di Sukan SEA 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah, namun gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas kepada tuan rumah Filipina pada edisi 2019.
Acara ragbi 7s tidak dipertandingkan dalam dua edisi berikutnya di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023, menjadikan kemunculan semula di Thailand 2025 sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menebus kekecewaan lalu.