GENOA, 1 November - Kelab tercorot Serie A, Genoa, mengesahkan pemecatan Patrick Vieira selepas pasukan itu gagal mencatat sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan pertama musim ini.
Genoa kini hanya mengumpul tiga mata hasil tiga seri dan enam kekalahan, sekali gus menghuni tangga terbawah liga dengan hanya empat jaringan setakat ini.
“Genoa CFC mengumumkan bahawa Patrick Vieira tidak lagi menjadi ketua jurulatih pasukan utama.Kelab ingin mengucapkan terima kasih atas profesionalisme dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan serta mendoakan kejayaan dalam kariernya,” menurut kenyataan rasmi kelab itu hari ini.
Tambah kenyataan itu,tanggungjawab membimbing pasukan utama kini diserahkan secara sementara kepada Roberto Murgita, dibantu oleh bekas kapten kelab, Domenico Criscito, bagi aksi seterusnya menentang Sassuolo pada Isnin.
Vieira, legenda Perancis dan bekas pemain Arsenal, dilantik pada November tahun lalu, ketika Genoa berada di tangga ke-17 Serie A. Beliau berjaya memastikan kelab itu kekal dalam saingan Serie A dengan menamatkan musim di tempat ke-13.
Namun, permulaan hambar musim ini menyaksikan Vieira kehilangan kepercayaan pengurusan kelab selepas hanya mencatatkan 10 kemenangan, 12 seri dan 15 kekalahan dalam 37 perlawanan sepanjang bersama pasukan.
Difahamkan, Genoa kini sedang mengenal pasti calon baharu untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih secara tetap dengan Paolo Vanoli antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan utama. -REUTERS