NUSA TENGGARA, 17 Ogos - Pelumba Asia Road Race Championship (ARRC) Haruki Noguchi disahkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan dalam siri ARRC Indonesia di Litar Mandalika pada Ahad.
Berita sedih tersebut dimaklumkan oleh FIM Asia dalam satu kenyataan pada Khamis.
“Dengan penuh kesedihan kami mengumumkan kematian Haruki Noguchi selepas tiga hari menerima rawatan intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat,” kata FIM Asia.
Menurut kenyataan itu lagi, pelumba berusia 22 tahun itu terbabit kemalangan di pusingan keempat Kejohanan Motosikal Asia ARRC di litar Antarabangsa Pertamina Mandalika.
Akibat kemalangan dalam perlumbaan kategori 1000cc itu, Haruki mengalami kecederaan parah.
Dia kemudian menerima rawatan segera di pusat perubatan litar sebelum dibawa ke hospital.
Selepas bertarung nyawa selama tiga hari di unit rawatan rapi, Haruki disahkan meninggal dunia disebabkan kecederaan tersebut.
Presiden FIM Asia dan lembaga pengarahnya, serta Two Wheels Motor Racing dan seluruh keluarga ARRC turut menyampaikan ucapan takziah buat keluarga Haruki.
(FOTO FB FIM Asia)