fb fb fb fb fb

Peluang terbaik Malaysia julang trofi

(Speedy Tigers bakal menentang juara bertahan Korea Selatan esok / Foto Ihsan Facebook Hokita)

IPOH, 9 November- Menjelang perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah esok, edisi ke-29 hoki tahun ini adalah peluang terbaik buat Malaysia untuk menjulang trofi buat kali pertama.

Biarpun lawan yang bakal ditentang esok cukup getir, iaitu juara tiga kali, Korea Selatan yang menundukkan Speedy Tigers 3-0 dalam aksi pertama, namun Malaysia mempamer aksi meyakinkan dalam tiga perlawanan terakhir

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin pasukan The Speedy Tigers mampu melakar kejutan pada aksi menentang juara bertahan Korea Selatan.


(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu)

"Pada perlawanan-perlawanan permulaan, agak sedikit goyah, namun kita telah mendapat satu momentum yang cukup baik, dan momentum ini kalau kita boleh bawa sehingga ke peringkat perlawanan akhir ini nanti, saya fikir kita berpeluang merangkul kejuaraan pada tahun ini insya-Allah," katanya.

Keyakinan itu disuarakan beliau berdasarkan kepada prestasi dan semangat yang ditunjukkan skuad negara terutama dalam tiga perlawanan terakhir yang menyaksikan Malaysia meraih kemenangan.

Beliau yang juga calon Perikatan Nasional untuk kerusi Parlimen Tambun berkata demikian ketika mengadakan walkabout di sekitar pekan Tambun.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian akan mempertimbang sebarang bentuk insentif sekiranya skuad negara muncul juara kejohanan edisi ke-29 itu.

Kali terakhir skuad negara mara ke pentas final adalah pada edisi 2014 namun tumpas kepada Australia, 8-3.

Media Baharu