KUALA LUMPUR, 16 Disember - Pelari Menara Negara, Soh Wai Ching tekad mencipta dua rekod dunia tahun hadapan dalam usaha mengekalkan status sebagai pelari menara nombor satu dunia.
Jelas Wai Ching, sasaran pertamanya adalah menerusi cabaran pendakian mesin tangga, Mac depan.
Atlet berusia 28 tahun itu yakin mampu mencapai sasaran itu selepas berjaya mencatatkan tiga nama dalam Malaysia Book of Records dalam acara sama pada tahun 2021.
"Untuk rekod dunia kedua, kami masih menunggu kebenaran dari pihak bangunan (Menara Berkembar Petronas). Kami harap dapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kami akan menghantar permohonan menerusi KBS untuk dapatkan kebenaran daripada pihak Menara Berkembar Petronas. Saya menyasarkan menara ini kerana tangganya sangat sesuai untuk memecahkan rekod dunia," kata Wai Ching.
Wai Ching berazam untuk menyertai sekurang-kurangnya 15 kejohanan larian menara Antarabangsa tahun hadapan dengan misi utama memperbaharui catatan masa terbaik.
Beberapa pencapaian Wai Ching tahun ini termasuk menawan empat menara di Amerika Syarikat antaranya, menara Empire State.