fb fb fb fb fb

Persiapan SUKMA 2024: MSN Melaka perlu peruntukan RM5 juta

AYER KEROH, 15 Disember- Sebanyak RM5 juta diperlukan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijadual berlangsung di Johor.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata peruntukan itu termasuk bagi menampung elaun jurulatih dan atlet, pembelian peralatan dan naik taraf fasiliti sukan di tempat awam serta kos penyertaan sebarang pertandingan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka berusaha untuk menyediakan peruntukan berkenaan bagi mengelakkan sebarang isu yang akan menggangu persiapan termasuk kelewatan elaun.

Katanya, melalui laporan yang diterima daripada pihak MSN dan Jabatan Belia Sukan (JBS) negeri mendapati terdapat kekurangan di kesemua 31 pusat latihan sukan utama negeri itu perlu diberi perhatian untuk dibaik pulih.

"Dan lagi satu semua peserta persatuan yang bergabung dengan Majlis Sukan Negeri Melaka akan menyiapkan senarai mereka untuk peserta yang berada di bawah umur 21 tahun untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang bakal dianjurkan oleh negeri Johor pada tahun 2024.

"Untuk ini kerajaan negeri seperti biasa, adalah menjadi komitmen kita untuk membayar elaun-elaun pertandingan iaitu seperti bayaran untuk jurulatih, elaun atlet dan lain-lain perbelanjaan yang perlu kita laksanakan untuk kita 'maintain standard'," katanya.

(VP Shanmugam)

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Keempat (Bajet) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Katanya, Melaka menyasarkan 20 pingat emas pada temasya Sukma di Johor melalui beberapa sukan termasuk renang, angkat berat, badminton, berbasikal dan bebarapa sukan lain.

Media Baharu