PARIS, 23 November- Pelari Kenya, Emmaculate Anyango, yang memegang gelaran wanita kedua terpantas dunia dalam larian 10km, telah digantung selama enam tahun kerana kes doping, menurut pengumuman Unit Integriti Olahraga (AIU).
Anyango, 24 tahun, didapati positif menggunakan hormon testosterone yang dilarang serta hormon penggalak darah EPO dalam empat ujian antara Februari dan Jun di Kenya.
AIU dalam keputusan yang diumumkan pada Jumaat menyatakan tempoh penggantungan Anyango dinaikkan daripada empat tahun kepada enam tahun berikutan beberapa faktor termasuk penggunaan pelbagai bahan terlarang dan penggunaan testosterone berulang kali.
Selain itu, AIU turut menegur Anyango kerana gagal memberikan respons terhadap tuduhan tersebut. Kenyataan AIU menyebut selepas tarikh akhir berlalu, Anyango hanya menghantar e-mel yang antara lain menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa untuk dikatakan dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada AIU.
Sebagai atlet yang pernah memenangi pingat perak dalam acara 3,000 meter Bawah 20 Afrika pada 2019, Anyango pernah dianggap sebagai salah satu bintang baharu Kenya.
Dia menjadi wanita kedua Kenya yang mencatat masa di bawah 29 minit untuk larian 10km, menduduki tempat kedua dalam perlumbaan Valencia pada Januari di belakang rakan senegaranya Agnes Jebet Ngetich, yang mencatat rekod dunia 28:46. Catatan masa tersebut dicatat sebelum ujian doping pertama yang gagal.
Anyango juga mengejutkan lapangan pelari hebat, termasuk bekas juara maraton New York dan London Joyciline Jepkosgei, untuk memenangi perlumbaan merentas desa wanita di Sirikwa Classic, aksi Jelajah Emas Olahraga Dunia, pada Februari.
Kenya telah melabur besar-besaran dalam menangani isu doping sejak skandal di Sukan Olimpik Rio 2016, termasuk menubuhkan agensi antidoping yang lebih kukuh. Namun, dalam tiga tahun terakhir, 78 atlet Kenya telah dikenakan tindakan kerana kesalahan doping.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa program antidoping Kenya mungkin terjejas selepas Agensi Anti-Doping Kenya bulan lalu menyatakan bahawa pemotongan bajet yang besar telah menghentikan ujian doping.-AFP