fb fb fb fb fb

GP Las Vegas : Bebas kecederaan serius, Colapinto bakal bermula dari petak ke-14

Pelumba Williams, Franco Colapinto / FOTO AFP

LAS VEGAS, 24 November- Franco Colapinto, yang terselamat daripada kecederaan serius dalam kemalangan berkelajuan tinggi semasa sesi kelayakan Grand Prix Las Vegas, telah disahkan layak untuk menyertai perlumbaan pada malam Sabtu, menurut pasukan Williams.

Sehari sebelum itu, pelumba Argentina berusia 21 tahun berkenaan merempuh dinding namun berjaya keluar dari kereta yang rosak teruk sebelum dibawa ke pusat perubatan litar pada hari Jumaat.

Dia sedang berusaha untuk masuk ke kedudukan sepuluh terbaik apabila kehilangan kawalan di Turn 15 litar 'Sin City' dalam keadaan licin dan sejuk. Colapinto akan memulakan perlumbaan dari petak ke-14 di grid.

"Selepas insiden Franco dalam sesi kelayakan, dia telah menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pasukan perubatan acara hari ini dan disahkan layak untuk berlumba dalam Grand Prix Las Vegas malam ini," menurut kenyataan Williams.

"Kesihatan Franco adalah keutamaan utama kami, dan kami lega dia cukup sihat untuk berlumba selepas insiden yang begitu besar."

Kereta Colapinto memerlukan pembaikan semula sepenuhnya, kali kelima bagi pasukan itu dalam tiga Grand Prix terakhir, dengan anggaran kos sekitar AS$10 juta untuk alat ganti.

Colapinto, yang telah mencuri perhatian sejak menyertai Williams pertengahan musim, dikaitkan dengan kemungkinan perpindahan ke pasukan lain termasuk RB dan Audi pada masa depan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE