ALOR SETAR, 11 November - Kedah Darul Aman, KDA FC telah menghantar surat maklum balas kepada tawaran pihak Mahsuri Medical Centre (MMC) iaitu anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd berhubung cadangan pusat perubatan itu untuk mengambil alih pegangan saham dalam KDA FC.
Pengurusan KDA FC memaklumkan, tawaran tersebut dihantar kepada MMC secara serahan tangan sekitar pukul 4.45 petang, pada khamis.
"Bagaimanapun tiada butiran lanjut berkaitan inti pati maklum balas yang dihantar kepada MMC, dikongsikan," menurut KDA FC menerusi kenyataan.
Namun difahamkan kedua-dua pihak akan melakukan perbincangan lanjut berhubung tawaran tersebut.
Sekiranya menjadi kenyataan, KDA FC menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini yang memiliki pusat perubatan sendiri.
Ini selepas Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek sebelum ini mengatakan KDA FC akan memiliki 40 peratus pegangan saham dalam MMC jika pengambilalihan tersebut menjadi kenyataan.
Ketika ini, KDA FC berdepan kemelut isu tunggakan gaji selama beberapa bulan.