IPOH, 7 November-Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta supaya meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan pertukaran lokasi perlawanan tertunda Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, tindakan itu jelasnya mengecewakan peminat bola sepak negeri ekoran dibuat pada saat akhir.
Beliau dalam pada itu turut berpendapat badan penganjur liga tempatan itu seharusnya memilih lokasi berkecuali bagi perlawanan berkenaan.
"Sepatutnya MFL sebelum membuat keputusan adakan perbincangan dan mendapat pandangan daripada semua pihak kerana perlawanan ini memang satu perlawanan sentiasa dinanti nantikan oleh peminat peminat Perak.
"Ini kerana kita nak beri sokongan yang tidak berbelah bagi venue pasukan dan kalau nak pilih venue yang lebih baik atau lebih selamat ambillah venue yang berkecuali", katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak di sini.
Pada Selasa lepas, MFL dalam kenyataan mengumumkan perlawanan tertunda Liga Super antara Perak FC dan DT yang sepatutnya berlangsung di Stadium MPM ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).