fb fb fb fb fb

Pearly Tan mahu ke Olimpik Paris, bangkit daripada kecederaan

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan, mahu memastikan dirinya cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan sepanjang tahun depan.

Pearly berkata ia bagi membolehkan beliau dan gandingannya, M. Thinaah mengesahkan slot untuk aksi sulung dalam Sukan Olimpik di Paris.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui beberapa rintangan termasuk kecederaan selain jatuh sakit telah menjejaskan prestasinya di gelanggang sepanjang tahun ini.

Oktober lepas, Pearly mengalami kecederaan belakang selepas beliau dan Thinaah tersingkir pada aksi suku akhir di tangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.

Susulan itu, pasangan nombor 12 dunia itu terpaksa menarik dari daripada tiga kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Arctic 2023 di Finland, Terbuka Denmark 2023 dan Terbuka Perancis 2023.

Walaupun membuat kemunculan semula di Masters Jepun 2023 pada bulan lalu, juara Terbuka Perancis 2022 itu tewas pada suku akhir di tangan pasangan tuan rumah, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto, 13-21, 18-21.

Pearly-Thinaah menutup musim ini tanpa sebarang kejuaraan apabila tewas di tangan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, 11-21, 21-15, 20-22 dalam pusingan awal Masters China 2023.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM