MANCHESTER, 27 Disember- Gol daripada Rasmus Hojlund berjaya memberi kemenangan kepada Manchester United ke atas Aston Villa 3-2 selepas ketinggalan dua gol pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.
Pada perlawanan tersebut, Aston Villa terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama menerusi McGinn pada minit ke-21 hasil sepakan percuma yang melepasi benteng pertahanan Manchester United.
Leander Dendoncker terus menggandakan jaringan buat Aston Villa hasil rembatan jarak dekat bagi menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Manchester United mempamerkan kebangkitan menerusi gol pertama pada minit ke-59 oleh Garnacho, sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-77 bagi menyamakan kedudukan 2-2.
Rasmus Hojlund menjadi wira buat Manchester United apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-82 sekali gus memberi kemenangan ke-10 buat pasukan berkenaan.
Sementara itu, pengurus Manchester United, Erik ten Hag menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hadiah kepada para penyokong setia pasukan berkenaan yang sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.
"Saya rasa para penyokong berhak meraikan kemenangan ini. Mereka (para peyokong) sentiasa berada di belakang pasukan.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini. Kemampuan menangani tekanan dan untuk bangkit semula sangat mengagumkan", kata ten Hag kepada BBC.
Kemenangan Manchester United itu meletakkan pasukan berkenaan di tangga keenam liga dengan 31 mata, manakala Aston Villa kekal di tangga ketiga dengan 39 mata.-REUTERS