JAKARTA, 7 Jun - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan momentum cemerlang mereka apabila berjaya mara ke peringkat akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2025.
Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pasangan di kedudukan keempat dunia itu tewas pada set pertama kepada gandingan China, Li Yi Feng-Luo Xu Min dengan keputusan 12-21.
Namun, Pearly-Thinaah bangkit pada set kedua dengan memperkemas corak permainan mereka untuk mencatat kemenangan 21-17, sebelum menutup aksi dengan bergaya apabila menang 21-11 pada set penentuan.
Pearly-Thinaah mencatat kemenangan selepas 1 jam 4 minit permainan ke atas beregu di kedudukan keenam dunia itu, sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir esok.
Mereka kini menanti cabaran di 'final' menentang pemenang, satu lagi aksi separuh akhir yang mempertemukan beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dan pasangan Korea, Baek Ha Na-Lee So Hee.