fb fb fb fb fb

Aksi hebat petarung muda negara, Nor Iman dan Jojo tampil persembahan sengit

Jaguh muay thai negara, Nor Iman Aliff Rakib (kiri) dan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (kanan) / Foto ONE Championship

THAILAND, 7 Jun - Keberanian dua petarung muda negara dalam arena muay thai mencuri tumpuan di kejohanan ONE Championship hari ini, apabila Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencatat kemenangan bergaya, manakala Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menunjukkan semangat juang tinggi meskipun tewas tipis.

Bertarung dalam kategori strawweight di Stadium Lumpinee, Bangkok, Nor Iman Aliff tidak goyah berdepan tekanan pentas besar dan lawan berpengalaman dari Maghribi, Elmehdi El Jamari.

Petarung berusia 21 tahun itu meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara 3-0 oleh pengadil, sekali gus menghadiahkan kemenangan kelapan daripada sepuluh pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada April tahun lalu.

Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan kematangan Nor Iman di dalam gelanggang, malah menjadi inspirasi kepada petarung muda lain bahawa disiplin dan fokus mampu mengatasi pengalaman lawan.

Sementara itu, dalam kategori flyweight, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo mempamerkan prestasi yang tidak kurang hebatnya, meskipun akur tewas kepada petarung Colombia-Amerika Syarikat, Diego Paez.

Jojo, yang turun dengan misi untuk bangkit daripada kekalahan terdahulu, memberi tentangan sengit sepanjang tiga pusingan, namun keputusan berpihak kepada lawan dengan markah 2-1.

Meskipun gagal membawa pulang kemenangan, prestasi Jojo tetap diberi pujian kerana berjaya menyaingi petarung lebih berpengalaman di pentas antarabangsa.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE