ROME, 21 November-Bekas pemain Perancis dan legenda Arsenal, Patrick Vieira dilantik sebagai jurulatih baharu pasukan Serie A, Genoa pada Rabu.
"Kelab Genoa mengumumkan pelantikan Patrik Vieira bersama pasukan teknikal bagi mengendalikan pasukan utama", kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan.
"Vieira akan mengendalikan sesi pertama latihan pasukan selepas selesai formaliti kontrak petang ini (Rabu)", kata kelab itu lagi.
Jurulatih berusia 48 tahun itu menggantikan Alberto Gilardino yang dipecat pada Selasa susulan prestasi buruk Genoa yang menyaksikan pasukan itu kini berada di kedudukan ke-17, satu mata di zon penyingkiran liga.
Vieira yang memenangi Piala Dunia pada 1998 bersama Perancis menghabiskan separuh kariernya bersama Arsenal menyaksikan kelab berkenaan merangkul tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan dua kejuaraan domestik.
Dia kemudiannya bermain di Serie A bersama Juventus dan Inter Milan dan memenangi empat kejuaraan bersama kelab-kelab tersebut.
Vieira mengakhiri karier bersama Manchester City sebelum beralih ke bidang kejurulatihan.
Vieira pernah melatih beberapa pasukan seperti New York City, Crystal Palace dan kelab terakhirnya adalah Strasbourg menyaksikannya meninggalkan kelab tersebut secara persetujuan bersama pada Julai.-AFP