SAN DIEGO, 21 November- Bekas bintang bola sepak Sepanyol dan pemenang Piala Dunia 2010, Juan Mata, kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada pemilik San Diego FC, pasukan baharu Major League Soccer (MLS) yang akan membuat penampilan pada tahun depan.
Pengumuman itu dibuat oleh kelab tersebut pada Rabu.
Mata, 36, yang pernah menyarung jersi kelab gergasi Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United dan Chelsea, menjadi pemain antarabangsa aktif pertama yang memiliki saham dalam kelab MLS.
Beliau menyertai jejak langkah legenda England, David Beckham, yang turut terlibat dalam pemilikan kelab, Inter Miami.
“Menjadi rakan kongsi San Diego FC adalah peluang yang sangat menarik untuk membantu membina sesuatu yang istimewa di sebuah bandar dan liga yang sedang berkembang pesat,” kata Mata.
“Saya teruja untuk menyumbangkan pengalaman dan semangat saya terhadap bola sepak, sambil bekerjasama dengan semua pihak di sini untuk membina sebuah kelab yang memberi inspirasi di dalam dan di luar padang", tambahnya.
Mata, yang kini beraksi bersama Western Sydney Wanderers di Australia, memiliki rekod kejayaan yang luar biasa di peringkat kelab, termasuk memenangi kejuaraan di England, Sepanyol, Turki, dan Jepun.
Beliau juga merupakan anggota skuad Sepanyol yang menjulang Piala Dunia FIFA 2010 dan Kejuaraan Eropah UEFA 2012.
Pengerusi San Diego FC, Mohamed Mansour, menyambut baik penyertaan Mata sebagai sebahagian daripada visi kelab untuk masa depan.
“Kami amat gembira dengan kehadiran Juan Mata sebagai rakan kongsi.
"Sebagai salah seorang pemain bola sepak paling berjaya dalam generasinya, yang telah memenangi Piala Dunia, Kejuaraan Eropah, dan Liga Juara-Juara UEFA, Mata adalah simbol kejayaan.
"Di San Diego, kami komited untuk membina pasukan yang berjaya dalam jangka masa panjang,” katanya.
Dengan pengalaman dan rekod kejayaan Mata, kehadirannya di San Diego FC dijangka membawa pengaruh positif dalam usaha kelab itu untuk mencipta nama dalam arena bola sepak Amerika Syarikat.-AFP