LONDON, 29 Julai - Pasukan Lionesses England pulang dengan sambutan wira pada Isnin, kurang 24 jam selepas kemenangan dramatik menerusi penentuan sepakan penalti ke atas juara dunia Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2025.
Chloe Kelly menyempurnakan sepakan penalti penentuan di bandar Basel, Switzerland apabila pasukan bimbingan Sarina Wiegman berjaya mempertahankan gelaran Eropah wanita yang dimenangi mereka di Wembley pada 2022.
Dalam satu hantaran di X, pasukan itu berkongsi gambar trofi yang dibalut dengan bendera England di atas tempat duduk dalam pesawat yang tertera perkataan "Home" dalam huruf merah di sisinya.
Pesawat itu disambut dengan taburan air oleh dua jentera bomba selepas mendarat. Kapten Leah Williamson dan pengurus Wiegman menjadi individu pertama turun, dengan kapten itu bangga mengangkat trofi.
Lionesses terus dibawa ke 10 Downing Street, kediaman rasmi Perdana Menteri British Keir Starmer yang dihiasi dengan bendera England.
"Apa satu pasukan. Apa satu perlawanan. Begitu dramatik. Kamu bangkit bila ia paling penting dan kamu membuat negara ini bangga. Pencipta sejarah," tulis Starmer dalam satu mesej kepada Lionesses di X.
Pasukan itu diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri Angela Rayner dan Menteri Sukan Stephanie Peacock sementara Starmer berada di Scotland bertemu Presiden Ameria Syarikat Donald Trump.
“Contoh cemerlang bakat dan keterujaan dalam bola sepak wanita.” puji Rayner
Perarakan dengan bas atap terbuka akan diadakan pada Selasa dan berakhir dengan sambutan di hadapan Istana Buckingham.
Kemenangan di Switzerland menjadi pembalasan manis buat pasukan Wiegman, yang sebelum ini tewas perit kepada lawan sama dalam akhir Piala Dunia dua tahun lalu.
Dua penyelamatan penalti oleh pemain terbaik perlawanan Hannah Hampton dan sepakan tersasar oleh Salma Paralluelo membuka peluang untuk Kelly, yang juga menjaringkan gol kemenangan ke atas Jerman dalam final 2022.
“Saya mesti akui ini kejohanan paling huru-hara dan luar biasa yang kami sertai..
“Pemain-pemain kata kami boleh menang dengan apa cara sekalipun, dan kami memang tak pernah berputus asa.” kata Wiegman
Jurulatih dari Belanda itu, yang kini memenangi tiga kejuaraan Eropah berturut-turut, termasuk kejayaan bersama Belanda pada 2017, berharap kemenangan England akan merangsang bola sepak wanita di seluruh dunia.
“Bagaimana saya alami kejohanan ini ialah tahap permainan meningkat sekali lagi, intensiti perlawanan luar biasa.
“Kami lihat dalam perlawanan, tapi juga dalam data yang kami ada. Saya fikir kejohanan ini memecah semua rekod sekali lagi dan itu hebat, dan saya harap ia akan memacu perkembangan bola sepak wanita di mana-mana.” katanya.