BERLIN, 29 Julai - Penasihat sukan permotoran Red Bull, Helmut Marko telah mengesahkan bahawa juara dunia Formula 1 empat kali, Max Verstappen akan terus berlumba untuk pasukan Red Bull tahun hadapan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Ya, saya boleh sahkan bahawa Max Verstappen akan memandu untuk Red Bull pada tahun 2026," kata Marko kepada penyiar RTL/ntv dan platform sport.de dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Akhbar harian Belanda, De Telegraaf sebelum ini melaporkan bahawa pelumba berusia 27 tahun itu tidak lagi mempertimbangkan untuk meninggalkan pasukan selepas musim ini.
Ini sekali gus menafikan kemungkinan perpindahan pantas ke pasukan saingan F1, Mercedes, yang telah menjadi topik spekulasi hangat selama beberapa bulan.
Verstappen mempunyai kontrak bersama Red Bull sehingga akhir tahun 2028, namun kelihatan tidak berpuas hati musim ini setelah ketinggalan kepada pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dan Lando Norris daripada pasukan McLaren.- BERNAMA