SHAH ALAM, 29 Julai – Latihan skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun negara berjalan lancar dengan semangat berpasukan yang tinggi menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita B20 2026 dari 6 hingga 10 Ogos ini.
Jurulatih Malayan Tigress B20, Cameron Ng menyifatkan prestasi pemain sepanjang minggu pertama latihan sebagai sangat positif, dengan tumpuan diberikan kepada aspek taktikal dan penyesuaian jadual perlawanan yang padat.
“Latihan berjalan lancar setakat ini dengan penekanan kepada dua perkara utama iaitu bagaimana bermain secara taktikal terhadap pasukan dalam kumpulan serta membiasakan pemain dengan jadual pertandingan yang padat.
“Format kejohanan ini menuntut pemain beraksi setiap dua hari, jadi mereka perlu segera menyesuaikan diri dengan hanya satu hari rehat antara perlawanan,” katanya ketika ditemui media di Shah Alam.
Pasukan turut mengadakan perlawanan persahabatan tertutup menentang Singapura yang memberi keputusan positif sekali gus meningkatkan keyakinan pemain.
Cameron Ng turut memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan dan yakin ia akan menjadi kunci kejayaan dalam kejohanan kelayakan.
“Saya sangat berpuas hati dengan semangat yang dipamerkan pemain. Kekuatan mental dan disiplin taktikal mereka akan menjadi faktor penting dalam kejohanan ini,” jelasnya.