fb fb fb fb fb

Atlet cilik China curi tumpuan di Kejohanan Dunia

FOTO REUTERS

SINGAPURA, 29 Julai – Atlet muda China berusia 12 tahun, Yu Zidi, mencuri tumpuan pada Kejohanan Dunia selepas hampir menaiki podium dalam acara 200 meter rampaian wanita apabila hanya ketinggalan 0.06 saat untuk meraih pingat, semalam.

Yu yang berjaya memperbaiki rekod peribadi lebih satu saat dengan catatan dua minit 9.21 saat menerima pujian daripada atlet lain namun menegaskan fokusnya tetap pada latihan.

“Saya akan cuba untuk berada di podium. Walaupun rasa seperti mustahil, saya tetap mahu mencuba. Hari ini saya hanya selangkah pendek, jadi saya akan terus berusaha,” katanya kepada CCTV.

Pemenang pingat perak dari Amerika Syarikat, Alex Walsh, turut memuji bakat besar dimiliki Yu pada usia muda dan yakin masa depannya cerah.

Media mula membandingkan Yu dengan perenang sensasi Kanada, Summer McIntosh yang memenangi pingat emas acara tersebut. Bagaimanapun, Yu menolak gelaran ‘genius’ dan menganggap pencapaiannya hasil latihan gigih.

Yu dijadualkan beraksi dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu pada Rabu diikuti 400 meter rampaian pada Ahad.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE