SINGAPURA, 28 Julai - Perenang China, Qin Haiyang menetapkan sasaran untuk meraih kegemilangan pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028, selepas menewaskan juara Olimpik Nicolo Martinenghi untuk merampas semula gelaran dunia dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025.
Qin bangkit daripada permulaan perlahan untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 58.23 saat (s), mengatasi Martinenghi dari Itali (58.58s) dan Denis Petrashov dari Kyrgyzstan (58.88s).
Atlet berusia 26 tahun itu sebelum ini menyapu bersih ketiga-tiga acara kuak dada pada Kejohanan Dunia 2023 di Jepun, termasuk memecahkan rekod dunia dalam acara 200m.
Namun, dia mengalami kekecewaan pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, walaupun mendahului pada separuh masa perlumbaan akhir 100m kuak dada.
Namun pada kali ini, Qin tidak berdepan sebarang masalah untuk menyumbang pingat emas pertama buat China.
"Saya sangat menantikan LA 2028. Saya hanya mahu mempersiapkan diri dari sekarang secara mental. Masih banyak perkara yang belum pasti dan saya perlu bersedia untuk apa sahaja yang mungkin berlaku," katanya.
Menurut Qin, dia masih belum berada pada tahap terbaik, tetapi menganggap kemenangan itu sebagai suntikan keyakinan besar selepas mengalami kecederaan.
"Masih ada beberapa tahun lagi sebelum Olimpik seterusnya dan saya mahu terus mengejar impian saya," tambahnya.
Qin turut menegaskan kemenangannya adalah hasil daripada kerja keras dalam latihan dan mengakui kejayaan merangkul pingat emas, bukan sesuatu yang mudah baginya. -AFP