fb fb fb fb fb

Kejohanan Akuatik Dunia: Summer raih gelaran kedua

Summer McIntosh (kanan) bersama Alex Walsh di podium acara 200 meter rampaian individu Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura

SINGAPURA, 28 Julai - Perenang remaja Kanada, Summer McIntosh meraih gelaran keduanya dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025.

Atlet berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam acara 400 meter gaya bebas dengan cemerlang pada malam pembukaan di Singapura semalam dan sekali lagi menunjukkan bakat luar biasanya pada hari ini dalam acara 200 meter rampaian individu.

Dia menamatkan perlumbaan dalam masa 2 minit 06.69 saat meninggalkan Alex Walsh dari Amerika Syarikat di tempat kedua dengan catatan 2 minit 08.58 saat, diikuti rakan senegaranya, Mary-Sophie Harvey di tempat ketiga dengan 2 minit 09.15 saat.

"Matlamat saya malam ini adalah untuk jadi orang pertama menyentuh dinding, jadi berjaya melakukannya adalah satu perkara yang baik.

"Saya tidak terlalu gembira dengan masa catatan itu, tetapi secara jujurnya, di kejohanan dunia, matlamat saya hanyalah berenang secepat mungkin," kata atlet sensasi dari Kanada itu.

McIntosh juga akan bertanding dalam acara 400 meter rampaian, 200 meter kuak kupu-kupu dan 800 meter gaya bebas.

Dia kini berada di landasan untuk menyamai Michael Phelps sebagai satu-satunya perenang yang memenangi lima gelaran individu dalam satu kejohanan dunia.

"Masih gembira dengan pingat emas ini dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas ini," katanya. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK