KUALA LUMPUR, 28 Julai - Pemilihan strategi yang kurang tepat dikenal pasti sebagai antara punca utama kekalahan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam aksi akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 di Changzhou, semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, pasangan negara akur tewas kepada beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 14-21 dalam kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi berkata, kesilapan strategi tersebut ternyata memakan diri anak buahnya dan membuka ruang buat lawan terus memberi tekanan sehingga berada jauh di depan pada peringkat awal set pertama.
"Kita harus akui strategi perlawanan Fajar-Muhammad Shohibul lebih baik. Kita pula tersilap memilih strategi terutama pada set pertama sehingga ketinggalan jauh.
"Permainan 'no lifting' mereka sangat baik, ditambah pula dengan serangan yang berkualiti dan jarang melakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Herry, faktor aliran angin di dalam gelanggang turut mempengaruhi rentak permainan Aaron-Wooi Yik dan menjejaskan momentum persembahan mereka.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan juara dunia 2022 itu tewas buat kali keenam berturut-turut di peringkat akhir kejohanan bertaraf Super 1000.
Sebelum ini, mereka sekadar meraih status naib juara pada kejohanan All England 2019 dan 2024, Terbuka Thailand 2020, serta Terbuka China 2023 dan Indonesia 2023.
Fajar-Shohibul membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM625,000), manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM296,000) selaku naib juara. -BERNAMA