KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi tumpuan penuh untuk mempertahankan kejuaraan Piala Agong sekali gus memburu kemenangan kali ketiga berturut-turut.
Jurulatih PDRM, K. Dineshwaran berkata, persiapan pasukan berjalan baik sejak hujung Julai lalu dengan kehadiran pemain tempatan dan import yang melengkapkan sesi latihan.
Fokus utama adalah memastikan skuad kali ini mampu mengekalkan standard tinggi yang dipamerkan dua musim lalu.
"Kita fokus untuk dapatkan kemenangan ketiga berturut-turut untuk Piala Agong. Jadi persediaan telah dilakukan dari hujung bulan Julai untuk melakukan latihan. Pada masa sama mengumpulkan pemain untuk beraksi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis hi-tea di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini.
Seramai 50 pemain kini menyertai kem latihan pusat dan hanya 40 akan disenaraikan untuk Piala Agong, termasuk empat pemain import dari Fiji dan Samoa. Tiga daripadanya akan beraksi, manakala seorang lagi diletakkan di bangku simpanan.
Selain itu, PDRM turut mendapat suntikan semangat apabila beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Johor baru-baru ini, sekali gus memberi ruang barisan kejurulatihan menilai kekuatan sebenar pasukan.
Sementara itu, Pengelola Pasukan Ragbi PDRM, SAC Nasri Mansor menegaskan keyakinan tinggi pasukan untuk mengekalkan momentum juara.
"Disiplin, kerjasama dan percaya diri yang kita boleh menang. Dan pada tahun lepas saya ditanya soalan adakah kejuaraan pada tahun 2023 itu akan membebankan pasukan sebagai juara pertahanan. Saya beritahu ini pun saya gunakan pada tahun ini bahawa kita menggunakan psikologi terbalik," katanya.
PDRM sebelum ini menjulang Piala Agong pada edisi 2022 dan 2023, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun sebelum berjaya mempertahankan trofi itu tahun lalu.
Dengan reputasi selaku juara bertahan dua musim berturut-turut, skuad ragbi PDRM kini tampil sebagai antara pasukan pilihan sekali gus menjadi tumpuan menjelang saingan edisi baharu kejohanan tersebut yang membuka tirai pada 6 September depan.