fb fb fb fb fb

KARiSTA 2025 buka tirai, tawar 71 pingat emas

Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA) 2025

ARAU, 26 Ogos - Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA) 2025 yang membuka tirai di UiTM Cawangan Perlis hari ini menghimpunkan seramai 2,300 atlet mewakili 15 kontinjen UiTM seluruh negara.

Selaku tuan rumah edisi kali ini sebanyak 71 pingat emas menerusi 22 acara sukan ditawarkan sepanjang kejohanan berlangsung hingga 30 Ogos ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berbesar hati dengan penganjuran edisi kali ini di UiTM Perlis, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan warga UiTM dalam memperkasakan budaya sukan.

"Lebih bermakna, KARiSTA 2025 turut menyaksikan penyertaan kontinjen PESUTIMA iaitu Persatuan Pesara UiTM buat julung kalinya, yang menambah warna dan keunikan kejohanan ini.

"Ucapan penghargaan juga diucapkan kepada UiTM Cawangan Perlis serta jawatankuasa penganjur atas dedikasi dan komitmen menjayakan kejohanan dwitahunan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf UiTM (KARiSTA) 2025 malam tadi di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu termasuk pegawai, atlet serta warga universiti.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (HEA), Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, barisan rektor UiTM, timbalan rektor, Pengarah Sukan UiTM, Presiden PESUTIMA, barisan pegawai sukan serta ahli jawatankuasa pelaksana KARiSTA 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI