KUALA LUMPUR, 7 Julai - Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun diminta mengemukakan cadangan penambahbaikan prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023.
Ini berikutan pencapaian terburuk kontinjen negara di temasya dwitahunan itu.
Permintaan itu dikemuka pada sesi post-mortem atau pascanilai prestasi kontinjen negara di Majlis Sukan Negara, yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) selama dua hari bermula semalam.
Sesi pascanilai itu turut disertai Pengarah Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan, Prof. Ito Masamitsu dan Prof Madya Fumihiko Iwahara dari Fakulti Sains Sukan NSSU.
MSN memaklumkan, wakil universiti yang merupakan model negara dalam usaha meningkatkan prestasi sukan tanah air itu turut diminta mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi temasya sukan itu pada masa akan datang.
"Kepakaran NSSU terbukti dengan pencapaian melahirkan 137 pemenang pingat, termasuk 41 pingat emas keseluruhan untuk kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik," kata MSU menerusi kenyataan.
Selain MSN dan NSSU, sesi pascanilai itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, 38 wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Pada Sukan SEA Kemboja, Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959 apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran pingat.