PARIS, 26 Julai- Bagi memastikan sesebuah temasya sukan berlangsung dengan lancar, aspek keselamatan adalah perkara penting yang perlu dititik beratkan.
Apatah lagi di temasya besar seperti Olimpik yang kini sedang berlangsung di Paris.
Bagi setiap penganjur temasya sukan, sudah pasti tidak mahu berlakunya sebarang perkara tidak diingini kepada atlet, kontinjen, penonton mahupun petugas media yang bertandang ke tempat mereka.
Tidak terkecuali di Paris, pihak tuan rumah telah mengambil segala langkah perlu untuk memastikan keselamatan semua pihak.
Jaminan itu diberikan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tony Estanguet.
Jelas beliau, pihaknya sudah menyusun strategi rapi bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.
Selain memastikan semua yang hadir berasa selesa bertandang di bumi Paris.
Selain menutup beberapa lokasi utama kepada orang awam, penganjur juga menempatkan pasukan polis di stesen pengankutan awam dan menyediakan pelan bagi mengelakkan serangan pengganas.
Selain itu, terdapat juga kembimbangan berlakunya tunjuk perasaan dari penduduk Paris sendiri.
Ia susulan beberapa siri tunjuk perasaan terhadap dasar yg dilaksanakan kerajaannya.
Bagaimanapun menjelang acara pembukaan rasmi malam ini semuanya nampak terkawal.
Orang ramai dan atlet masih bebas bergerak, dan pihak media juga dapat membuat tugasan dengan lancar.
Acara pembukaan gilang gemilang Olimpik 2024 dijadual bermula pukul 7.30 malam waktu Paris bersamaan 1.30 pagi esok waktu Malaysia.