fb fb fb fb fb

Paralimpik Paris: Skuad badminton mula langkah kanan

Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou

PARIS, 30 Ogos-Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou memulakan misi mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki SU5 (cacat fizikal) dengan cemerlang pada hari pertama Sukan Paralimpik Paris 2024, di sini hari ini.

Dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama itu mudah menewaskan pemain Poland Bartlomiej Mroz dengan kemenangan 21-10, 21-6 dalam masa 26 minit.

Liek Hou dijadual berhadapan wakil tuan rumah Meril Loquette untuk aksi terakhir kumpulan.

Sementara itu, seorang lagi pemain Malaysia Muhammad Fareez Anuar yang bermain dalam kategori sama, membuat penampilan pertama yang hebat apabila dia mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan Fang Jen-Yu, 21-14, 21- 18 dalam perlawanan Kumpulan B.

Dalam pada itu, jurulatih mereka Nova Armada gembira melihat kedua-dua anak buahnya bermain dengan baik hari ini. Walaupun dia telah menjangkakan Liek Hou akan memenangi perlawanan menentang Mroz, jurulatih dari Indonesia itu gembira melihat pemain bukan pilihan Muhammad Fareez mengejutkan Jen-Yu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD