PARIS, 31 Ogos - Hasrat atlet Boccia para negara, Abdul Razzaq Abdul Rahman untuk mara ke peringkat seterusnya dalam kategori individu BC4, Sukan Paralimpik Paris 2024 musnah selepas tumpas kepada atlet Ukraine, Artem Kolinko.
Saingan yang berlangsung di South Paris Arena 1 itu menyaksikan Abdul Razzaq, 21, gagal menampilkan aksi cemerlang dan tewas dengan keputusan 4-1.
Walaupun kecewa dengan kekalahan tersebut, Abdul Razzaq yang pertama kali membuat penampilan di Sukan Paralimpik menyifatkan pengalaman itu sebagai pengajaran penting untuknya lebih cemerlang pada masa akan datang.
"Pengajaran yang saya dapat, pengalaman pun main peranan. Tidak kisah kita ini baru lagi ke, atau sudah lama, tetapi pengalaman itu penting untuk kita jadi yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut, di sini.
Beliau juga optimis untuk melakukan yang terbaik dalam acara beregu yang akan datang.