DÉCINES-CHARPIEU, 31 Ogos- Kelab bola sepak Perancis, Lyon telah menandatangani pemain sayap antarabangsa Ivory Coast, Wilfried Zaha, secara pinjaman dari gergasi Turki, Galatasaray.
Perkara itu diumumkan kelab tersebut tepat sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup pada hari Jumaat.
Juara Ligue 1 sebanyak tujuh kali itu menyatakan mereka bersetuju untuk membayar tiga juta euro (AS$3.3 juta) bagi mendapatkan khidmat Zaha sehingga akhir musim ini.
Kini berusia 31 tahun, Zaha berpindah ke Galatasaray setahun yang lalu dari Crystal Palace dan membantu gergasi Istanbul itu memenangi gelaran Turki musim lalu.
Sebelum ini, dia telah membuat 458 penampilan untuk Palace dalam tempoh 13 tahun, serta pernah bermain sebentar di Manchester United.
Kelab baharu Zaha mencatat kemenangan pertama mereka dalam kempen Ligue 1 pada hari Jumaat, menewaskan Strasbourg 4-3.
Lyon akan bermain dalam Liga Europa musim ini, dengan lawan termasuk Eintracht Frankfurt, Rangers, Olympiacos, dan Fenerbahce yang dikendalikan oleh Jose Mourinho.-AFP