KUCHING, 29 September - Temasya Para SUKMA berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat Sarawak tentang kehebatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, kesedaran ini terhasil melalui liputan media yang meluas sepanjang temasya tersebut.
“Lebih ramai orang Sarawak kini tahu tentang Para SUKMA dan yang paling penting, mereka sedar bahawa OKU sebenarnya adalah individu yang hebat,” kata beliau.
Fatimah berkata demikian ketika meraikan atlet-atlet Para Sarawak di Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Perjalanan Kontinjen Sarawak sempena Para SUKMA 2024 di sini, hari ini.
Beliau turut menambah bahawa temasya ini merupakan langkah awal dalam usaha mencungkil bakat baharu bagi Para SUKMA Selangor 2026.