LANGKAWI, 29 September - Pelumba Pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa, mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Langkawi, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan pelumba berusia 24 tahun itu merangkul jersi oren KBS sebagai raja pecut serta jersi hijau Petronas sebagai pendahulu keseluruhan.
Perlumbaan dimulakan dengan aksi mendebarkan apabila lima pelumba, termasuk dua wakil negara, Mohamad Nur Aiman Rosli daripada Terengganu Cycling Team (TSG) dan Muhamad Afiq Huznie Othman dari pasukan Kebangsaan, melakukan pecahan atau 'breakaway' seawal 18 kilometer pertama.
Bagaimanapun, Syritsa berjaya mengejar kelompok hadapan dan meraih tempat kedua di zon pecutan ketiga di Padang Matsirat.
Pada 500 meter terakhir, beliau melakukan henjutan bertenaga untuk melintasi garisan penamat, meninggalkan Casper Van Uden dan Lorenzo Conforti di tempat kedua dan ketiga.
Dalam pada itu, wakil Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli, turut mencatat permulaan baik apabila menguasai jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.
Pasukan Malaysia Pro Cycling juga mencipta kejayaan apabila bergelar pasukan terbaik Asia bagi peringkat pertama yang melibatkan jarak sejauh 96.5 kilometer (km).
Saingan peringkat kedua yang meliputi jarak 154.5 km dari Arau ke Butterworth dijadualkan berlangsung esok.