LANGKAWI, 28 SEPTEMBER - Menjelang perlumbaan pembuka tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 esok, pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh, akui masih merasai gementar meskipun bakal membuat penampilan ke-15 pada kejohanan berprestij Asia itu.
Pelumba berusia 36 tahun itu menyatakan bahawa cabaran bagi pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) kali ini semakin sengit dengan kehadiran tiga pasukan berstatus dunia, berbanding hanya dua pada edisi lalu.
Menurutnya, pasukan-pasukan ini mempunyai kelebihan besar selepas menyertai perlumbaan seperti Tour de France, Vuelta, dan Giro d’Italia, yang mewujudkan jurang ketara dengan pasukan tempatan.
"Mereka semua baru sahaja menyertai perlumbaan besar seperti Tour de France, Vuelta, Giro d'Italia, memang jurang kita dengan mereka sangat jauh, jadi kita perlu lihat dahulu cara permainan mereka.
"Oleh sebab mereka terlalu banyak menyertai perlumbaan, kita masih ketinggalan jauh, dan kita akan menggunakan peluang ini dengan semangat tinggi untuk bersaing dengan mereka," katanya selepas sidang media pasukan di sini, hari ini.
Namun, beliau tetap optimis dengan kemampuan TSG yang turut memiliki pelumba berbakat seperti pelumba terbaik Malaysia pada edisi lalu iaitu Muhammad Nur Aiman Rosli; raja bukit musim 2020 dan 2022, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff.