fb fb fb fb fb

Liga Super : JDT bergelut berdepan Kuching City, sebelum raih tiga mata

FOTO BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 28 September- Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim, JDT bergelut sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Kemenangan tipis itu bagaimanapun terus meletakkan penyandang juara Liga Super itu semakin meninggalkan Selangor FC di tangga kedua ketika ini.

JDT yang menurunkan barisan pemain yang hampir sama ketika membelasah Kelantan Darul Naim minggu lalu bermula perlahan pada babak pertama.

The Cats berjaya mengimbangi perlawanan dalam tempoh 45 minit pertama apabila mengikat kedudukan tanpa jaringan.

Hanya tiga minit perlawanan bersambung, pemain gantian Bergson Da Silva terus meledak gol untuk tuan rumah mendahului 1-0.

Gol kedua JDT hanya muncul pada minit ke-82 melalui jaringan Juan Muniz.

Gol Fernando Welter kira-kira seminit kemudian, meningkatkan semangat pelawat untuk cuba mengutip satu mata.

Bagaimanapun usaha memburu gol penyamaan gagal disempurnakan sehingga tamat perlawanan.

Selepas 11 perlawanan, JDT unggul dengan 31 mata manakala Kuching City, kekal dengan 14 mata.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio akui pasukan pelawat bermain baik pada babak pertama, namun lega apabila berjaya mengutip 3 mata.

"Mungkin pemain terlalu memberi tumpuan pada perlawanan penting akan datang (menentang Shanghai Shenhua) nanti. Tetapi pada pendapat saya kami perlu fokus pada setiap perlawanan. Kami perlu meningkatkan lagi kualiti ketika menyeramg dan lebih kompak semasa bertahan," kata Bidoglio.

Sementara itu, bagi pengendali Kuching City Aidil Shahrin, kemampuan anak buahnya menampilkan aksi baik dan tidak dibolosi dengan jumlah gol yang banyak merupakan pencapaian membanggakan.

Namun akui masih ada kelemahan perlu diperbaiki untuk meraih kedudukan baik dalam Liga Super.

"Saya rasa pemain telah bermain baik dan berjaya mengikat pada babak pertama. Tetapi kami hilang sedikit tumpuan hingga bolos awal pada separuh masa kedua dan bolos gol kedua. Pemain telah berikan yang terbaik dan saya gembira mereka seronok bermain dengan pasukan besar seperti JDT," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE