fb fb fb fb fb

LTdL 2024: 132 pelumba terbaik sedia pamer taring

pasukan tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) beraksi pada LTdL 2024/Foto RTM Tuan Ikram

LANGKAWI, 27 September – Seramai 132 pelumba terbaik dari seluruh negara dipersembahkan pada majlis pengenalan pasukan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berlangsung meriah di Dataran Lang, Kuah, Langkawi, malam tadi.

Kesemua pelumba mewakili 22 pasukan itu bersedia untuk menyahut cabaran dalam saingan edisi ke-28 yang akan membuka tirainya pada Ahad ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

LTdl 2024 mengekalkan acara tumpuan sebagai saingan tertua di Asia dengan penyertaan tiga pasukan berstatus dunia iaitu EF Education-Easypost, Astana Qazaqstan, dan DSM Firmenich Post-NL.

Sementara itu, pasukan tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling, dan Pasukan Kebangsaan akan menggalas misi negara untuk memberi saingan kepada pasukan handalan antarabangsa.

Perlumbaan peringkat pertama akan mengelilingi Pulau Langkawi, melibatkan jarak sejauh 96.5 kilometer (km).

LTdL kali ini merangkumi 8 peringkat perlumbaan dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM700,000, menjadikan ia antara acara berprestij dalam kalendar sukan berbasikal Asia.

GRACE AISYAH KEDAYAN